Sabtu, 24 November 2012

7 Langkah Meningkatkan Keyakinan Diri

1. Bina Paradigma dan Prinsip Hidup yang Mantap
Benteng semangat juang ialah prinsip / falsafah dan moto hidup seseorang. Prinsip dan Moto hidup adalah pegangan atau pendirian yang dijadikan sebagai asas panduan mencapai kejayaan.

Antara prinsip, moto hidup atau peribahasa yang diterima sebagai panduan atau pegangan hidup oleh masyarakat kita ialah:  "
Belakang parang kalau diasah lagikan tajam." (Biar bodoh sekalipun kalau belajar bersungguh-sungguh, nescaya akan menjadi pandai juga.) atau, "Genggam bara api biar sampai jadi arang." atau  "Kalau tidak dipecahkan royong, manakan dapat sagunya." Satu lagi peribahasa ialah: "Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan."


Peribahasa-peribahasa tersebut kesemuanya menyeru kita agar melakukan sesuatu pekerjaan dengan sabar serta cekal untuk mencapai kejayaan.


Lebih banyak prinsip atau moto hidup yang anda dapat tanamkan pada diri anda, akan lebih teguhlah pendirian anda dan lebih yakin pulalah anda terhadap kemampuan serta potensi diri dan masa hadapan anda.



2. Kenalpasti dan Tetapkan Matlamat Hidup
Matlamat adalah kompas kehidupan. Matlamat merupakan pengarah  tujuan dan pendorong mencapi kejayaan dalam kehidupan kita.  Matlamat adalah asas utama kepada perancangan untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan.

Seseorang yang tidak mempunyai matlamat hidup yang jelas adalah seolah-seolah meniti kehidupannya dalam keadaan gelap yang tidak pasti akan ke mana arah dan sampainya. Keadaan demikian menyebabkan seseorang tidak yakin  dalam kehidupannya.


Oleh itu, agar anda lebih yakin diri, binalah matlamat dan hajatuju yang jelas. Nyatakan tujuan hidup atau matlamat jangka panjang anda dengan jelas. Untuk matlamat-matlamat jangka pendek dan sederhana, tentukan bila matlamat atau matlamat-matlamat anda itu anda hendak capai.


3. Bina Pelan Tindakan Mencapai Matlamat
Setelah mengenal pasti matlamat-matlamat jangka panjang  dan jangka pendek anda, anda mestilah pula merangka pelan tindakan untuk mencapainya.  Pelan tindakan yang jitu akan membantu dan memudahkan anda mencapai matlamat anda.

Dengan mempunyai pelan tindakan yang jitu dan padu, keyakinan diri anda untuk mencapai matlamat anda akan bertambah. Anda juga akan lebih komited melaksanakan segala tindakan yang perlu dilakukan.


4. Tingkatkan Ilmu Pengetahuan & Pengalaman
Amalan meningkatkan ilmu pengetahuan, pengalaman dan pendedahan akan membolehkan anda mengetahui perkara-perkara baru atau isu-isu semasa.  Pengetahuan atau ilmu-ilmu baru ini akan meningkatkan lagi keupayaan dan keyakinan anda menangani cabaran-cabaran semasa.

Berbagai cara boleh anda lakukan untuk menambah ilmu. Antaranya ialah membaca buku-buku, artikel-artikel, menghadiri kursus atau seminar, bertukar-tukar pendapat dengan rekan-rekan, membuat lawakan sambil belajar, mengikuti latihan praktikal dan sebagainya.

5. Tingkatkan Kemahiran Diri
Anda akan lebih yakin diri jika anda mempunyai kemahiran yang secukupnya dalam melakukan sesuatu kerja. 

Salah satu sebab mengapa seseorang takut / gementar /  gugup bercakap di hadapan audiens ialah kerena mereka kurang atau tidak mempunyai kemahiran berucap di hadapan audiens.

Salah satu cara berkesan untuk mengatasi kegugupan, ketakutan atau ketidakyakinan ini ialah dengan mempelajari secara bersungguh-sungguh setiap aspek pengucapan awam di samping membuat seberapa banyak latihan berucap sehinggalah kemahiran pengucapan awam itu sebati dalam diri anda.


6. Amalkan Keteraturan & Kesiapsediaan
Ketiadaan atau kekurangan persediaan adalah faktor utama seseorang tidak yakin terhadap dirinya sendiri dalam menghadapi atau mengerjakan sesuatu tugas.

Seseorang pelajar yang hanya mula menelaah pelajaran di saat-saat akhir akan mengalami kegusaran dan ketidakyakinan diri menghadapi peperiksaan. Keadaan begini juga juga boleh berlaku kepada pekerja-pekerja yang mempunyai amalan suka menangguh-nangguhkan penyiapan kerja.

Untuk mengatasi keadaan negatif ini, kita mestilah menerapkan pada diri kita amalan pengurusan masa dan diri yang berkesan. Tempat kerja dan kerja mestilah sistematik. Kita mestilah sentiasa  memastikan diri kita sentiasa bersedia dan dapat bertindak balas dengan pantas serta cekap dalam melaksanakan sesuatu tugas.


7. Tingkatkan Kualiti Kesihatan & Ketrampilan Diri
Kesehatan diri kita ada kaitannya dengan keyakinan diri. Jika kesehatan diri kita baik, badan kita juga akan lebih cergas. Jika kurang sehat atau sakit-sakit, badan kita akan lemah, fikiran menjadi kusut dan diri kurang bermaya. Keadaan begini boleh menjejaskan keyakinan diri kita.

Antara perkara-perkara yang mesti kita lakukan secara berterusan untuk memastikan kesihatan diri kita sentiasa baik ialah dengan menjaga kualiti pemakanan kita, sentiasa cukup tidur / istirahat (7-9) jam sehari, mengamalkan pergerakan badan / senaman setiap hari (10 minit - 2 Jam), serta menjaga kesihatan diri.

Kita akan lebih yakin diri jika kita sentiasa dapat membuat penampilan diri yang terbaik. Menjaga kebersihan dan kekemasan tempat kerja, rumah, kenderaan, malah dengan siapa kita berkawan dan sebagainya perlu juga diberi perhatian.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar